Thursday, October 9, 2008

Jurulatih baru Melaka lepas raya

Persatuan Bola sepak Melaka (Mafa) yang masih tersentak dengan aksi yang tidak konsisten serta laporan beberapa pemain bakal berhijrah, belum mahu menekan butang kecemasan dan hanya akan melantik jurulatih baru selepas sambutan Aidilfitri.

Mafa yang mengakui sedikit pincang pada saingan liga lepas, tidak mahu terburu-buru mencari pengganti, sebaliknya skuad itu yang bakal beraksi dengan menampilkan pemain muda pada musim depan mahu memanjangkan sedikit masa lagi bagi menilai calon yang bakal mengisi kekosongan tersebut.

Pengurus pasukan, Mohd Yazed Khamis berkata, Mafa sudah menyiapkan perancangan rapi untuk menghadapi liga musim depan bagi memastikan skuad itu terus mantap termasuk bersedia terhadap kemungkinan kehilangan pemain tonggak yang berhijrah ke pasukan lain.

Katanya, pemergian beberapa pemain ke pasukan lain adalah perkara biasa dalam bola sepak moden dan tidak akan menjejaskan perancangan skuad yang sudah pun mengambil kira semua faktor itu lebih awal.

Laporan akhbar tempatan baru-baru ini mendedahkan beberapa nama seperti bekas jurulatih dari skuad Belia Kebangsaan Iraq, Wathiq Nadji, jurulatih tempatan seperti Fuzaimi dari Pahang, Nick Sham Abdullah dan Rahim Abdullah masing-masing dari Melaka dikaitkan bakal mengisi kekosongan tersebut yang masih lagi menunggu lampu hijau dari Mafa.

“Setakat ini, Mafa lebih suka amalkan sikap tunggu dan lihat tetapi kami juga sudah memiliki beberapa calon untuk dipertimbangkan serta sudah merangka strategi untuk musim baru yang lebih kompetitif.

“Kami sedar, beraksi pada liga musim depan menuntut tahap aksi yang tinggi dan kami sudah pun mula melakar strategi berkenaan. “Segala persiapan termasuk pemilihan jurulatih kini di peringkat penilaian dan dijangka membuat pengumuman mengenainya selepas Aidilfitri nanti. “Tunggu saja pengumuman dari Mafa ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Manakala bagi pemain, Yazed menjelaskan setakat ini Mafa telah mengenal pasti 15 pemain muda tempatan yang bakal diserapkan ke dalam skuad negeri dan khidmat pemain senior seperti Md Nor Derus, Abdul Rahim Bakar dan beberapa pemain muda akan di kekalkan.