Sunday, September 28, 2008

Yazed Turun Padang Tinjau Masalah Peniaga Pasar Ramadhan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rim, Mohd Yazed Khamis telah mengadakan lawatan dan meninjau perkembangan peniaga di Pasar Ramadhan Jasin di perkarangan Stadium Jasin, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, beliau sempat berkenal-kenalan dan beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke situ sambil mendapatkan pandangan golongan peniaga mengenai kesesuaian kawasan tersebut.

Kehadiran beliau telah mendapat sambutan baik di kalangan peniaga dan orang ramai yang bukan sahaja meluahkan pelbagai permasalahan di kawasan Pasar Ramadhan, tetapi di kawasan tempat tinggal mereka.

“Melalui lawatan ini, penduduk dan peniaga bukan saja menyatakan masalah berkaitan dengan Pasar Ramadhan, tetapi juga isu-isu setempat di kampung masing-masing seperti masalah longkang, sistem perparitan, sampah, bantuan kebajikan dan bantuan rumah PPRT,”katanya.

Menurut Mohd Yazed, lawatan itu merupakan cara beliau dan Penghulu DUN Rim, Nor Azmi Mahmood mendampingi masyarakat dan menyelami permasalahan di peringkat akar umbi.

“Seperti yang diarah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya pemimpin harus turun ke bawah, maka pendekatan ke Pasar Ramadhan adalah kesempatan saya untuk mendengar masalah rakyat yang sentiasa mahukan pembelaan," katanya.

Seorang peniaga, Daud Che Ngah berkata, kekerapan wakil rakyat DUN Rim dan Penghulu berkunjung ke Pasar Ramadhan itu akan mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Walaupun sibuk, tetapi kesanggupan beliau meninjau permasalah rakyat membuktikan bahawa beliau amat perihatin dan komited dengan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,”katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu, Setiausaha JAPERUN DUN Rim, Abu Supian Abu Samah dan Sidang Kampung Terentang, Zakariah Ali.