Tuesday, September 2, 2008

Konvoi MIYC sambut merdeka di Kompleks Japerun Rim

Konvoi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) negeri Melaka baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Japerun Rim bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis dalam ucapannya menyambut kehadiran konvoi itu mengingatkan golongan belia supaya merapatkan hubungan serta perpaduan antara satu dengan lain demi bagi memastikan keamanan dan kestabilan ekonomi terus terbela dan terpelihara.

“Golongan belia tidak kira bangsa, perlu menjauhi perasaan syak wasangka di antara sesama sendiri serta mengelakkan diri daripada gejala negatif yang hanya mendatangkan keburukan sebaliknya berusaha dengan lebih tekun lagi dalam menjaga keamanan dan kemajuan negara.

“Atas faktor perpaduan, belia dan semua lapisan masyarakat diharapkan agar dapat berganding bahu bekerjasama dalam memastikan kebebasan yang dimiliki sekarang akan berterusan selama-lamanya,” katanya.

Turut hadir sama ialah Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN), Nor Azmi Mahmood, Pengerusi MIYC negeri Melaka, E Mathiyalagan serta Setiausaha Japerun, Abu Supian Abu Samah.

Sementara itu, Mathiyalagan turut menyampaikan penghargaan kepada pihak ADUN dan kakitangan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim di atas ucapan serta nasihat yang diberikan kepada peserta konvoi tersebut.

“Semoga dengan nasihat dan ucapan berguna itu dapat dijadikan panduan untuk golongan belia menentukan masa depan negara,” jelasnya
.