Monday, April 6, 2009

Masyarakat Orang Asli tidak dilupa

Nasib masyarakat Orang Asli di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, tidak pernah dilupakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis, berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan berusaha menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi golongan berkenaan.

“Buktinya, hari ini (semalam) kita mengadakan gotong–royong bersama beberapa agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri, Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Perkim, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan penduduk tempatan di Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, kelmarin,” katanya.

Menurutnya, menerusi program seumpama itu, masyarakat Orang Asli berpeluang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat luar, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk memperbaiki diri.

“Kita juga dapat menjalinkan kerjasama di antara masyarakat Orang Asli dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong ini.

“Acara sebegini juga dapat mengeratkan hubungan yang sudah sedia terjalin di antara mereka dengan masyarakat luar,” katanya.

kerjasama dan semangat yang berkobar-kobar yang ditonjolkan masyarakat Orang Asli pada aktiviti gotong-royong ini amat memberangsangkan. “Semangat seperti ini harus berterusan dan selepas ini penduduk kampung seharusnya dapat mengekalkan semangat kejiranan yang telah wujud,” katanya.

Hadir sama pada program berkenaan Penghulu DUN Rim, Nor Azmi Mahmood; Pengarah Bahagian Dakwah, Datuk Ahmad Mustapa; Pegawai Agama Daerah, Halim Tawil; Pegawai JHEOA, Suzilla Baki serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sempang Bekoh, Abu Bakar Ahmad