Monday, August 4, 2008

Gotong-royong erat hubungan belia, masyarakat

Lebih 100 penduduk dan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta bekerjasama dalam gotong-royong perdana membersihkan persekitaran kawasan peru­mahan awam di sini, baru-baru ini.

Ketua Belia 4B Kampung Abbey dan Pondok Batang, Suhaizan Noh berkata, program anjuran Pejabat Belia dan Sukan negeri Melaka, Gerakan Belia 4B Kampung Abbey dan Pondok Batang serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Abbey dan Pondok Batang itu ternyata berjaya mengeratkan lagi hubungan sesama peserta gotong-royong.Program Rakan Muda Wawasan Desa (Bakti Masyarakat) itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, R Perumal.

“Sebagai belia yang bakal memimpin negara, kita seharusnya mengambil peluang keemasan ini dengan mengeratkan hubungan.“Di samping itu, kita juga mahu golongan belia di kawasan ini berinteraksi dengan penduduk tempatan dan saling bertukar-tukar pandangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, objektif utama acara seperti itu adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan belia tentang pentingnya kebersihan dan keindahan di sesuatu tempat.

“Kita juga mahu generasi muda sekarang mempunyai semangat cintakan kebersihan di mana juga mereka berada,” katanya.

Suhaizan berkata, belia perlu mengetahui tanggungjawab sosial yang harus mereka lakukan demi kebaikan semua.

“Kita mahu membuang tanggapan masyarakat yang sering menganggap belia kini tidak seperti belia di zaman dahulu yang tahu tanggungjawab sosial masing-masing.

“Dengan penganjuran program seperti ini, belia tidak lagi membuang masa yang terluang begitu sahaja, malah mereka mengisinya dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya.