Thursday, July 31, 2008

JKKK main peranan kariah bebas dadah

Pemimpin masyarakat terutama pemimpin setempat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan dalam memastikan masyarakat hidup bebas daripada pengaruh najis dadah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazid Khamis, menjadi tanggungjawab setiap pemimpin dan JKKK bagi memastikan masyarakat hidup bebas daripada sebarang aktiviti negatif.

“Ia merupakan satu cabaran kepada semua pemimpin di kawasan kampung dan JKKK untuk mewujudkan suasana yang aman dan berusaha membentuk masyarakat yang mempunyai akhlak mulia.

“Dewasa ini, pelbagai masalah sosial yang timbul terutamanya penagihan dadah di kalangan belia merupakan bakal pemimpin negara masa hadapan kelak,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Gerak Gempur Dadah (GEMPADAH) di Dewan Felda Tun Ghaffar, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, para pemimpin boleh bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dalam menyampaikan maklumat tentang kawasan pengedaran dadah kepada pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kerjasama dan persefahaman ini amat penting dalam usaha memastikan masyarakat setempat bersih tanpa najis dadah kerana masalah ini semakin serius di negara kita.

“Masalah ini semakin hari menjadi rumit dan turut mengancam nyawa serta memberikan kesan bahaya kepada fizikal dan mental penagih dadah.

“Di samping itu, ancaman dadah ini turut membawa kepada gejala sosial yang melibatkan penagih seperti kegiatan jenayah, kecurian dan keruntuhan rumah tangga.

“Para penagih ini mempunyai pemikiran yang tidak rasional, bersikap agresif, penipu dan berpotensi mencederakan orang di sekelilingnya,” jelasnya.

Turut hadir sama pada majlis perasmian GEMPADAH tersebut ialah Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd Bakir Zin, Pengarah AADK Negeri Melaka, Ibrahim Bujang dan Pengurus Felda Wilayah Selatan, Mohd Ansari Jamrah.