Tuesday, July 29, 2008

Bercukur Jambul Dan Marhaban Warisan Turun-Temurun

Sambutan masyarakat di Taman Kemendor ,Jasin dekat sini terhadap Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) sempena mencukur jambul dan khatam Al-Quran yang diadakan hari ini, terima reaksi positif di kalangan penduduk kawasan itu.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negeri, Rodzwan Ismail berkata, program itu memberi peluang dan mendedahkan nilai seni dan budaya kepada masyarakat kampung dan luar bandar bagi menghayati aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Menurutnya, pelbagai acara bergotong-royong, permainan tradisional, kenduri rakyat,melestarikan tradisi seperti khatam al-Quran, mencukur jambul, berzanji marhaban dan sebagainya.

"Program ini akan diadakan setiap bulan membabitkan tiga daerah di negeri Melaka,"katanya kepada Mela Hari Ini(MHI), di mana majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rim, Yazid Khamis.

Jelasnya, PSM meliputi kawasan perumahan, komuniti, berunifom, kawasan setinggan, kawasan luar bandar dan pertempatan felda.

"Acara tersebut bermula dengan penyembelihan lembu, gotong-royong,melapah daging diikuti ucapan dan majlis cukur jambul.

Sementara itu, Yazid berkata, beliau menyeru kepada masyarakat kampung supaya mengamalkan budaya dan adat mencukur jambul dan khatam Al-Quran beramai-ramai.

Tambahannya, adat dan budaya itu semakin terpinggir dan perlu dihidupkan semula oleh generasi masa kini.