Thursday, July 31, 2008

GEMPADAH bantu cegah gejala dadah

Baru-baru ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Jasin (AADK) dengan kerjasama Biro Kebajikan Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah menganjurkan gotong-royong Gerak Gempur Memerangi Dadah (GEMPADAH).

Gotong-royong yang dihadiri 100 orang yang terdiri daripada penduduk dari kawasan Felda Kemendor, kakitangan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan kakitangan AADK Daerah Jasin.

Menurut Ketua Pengarah AADK Daerah Jasin, Siti Aishah Aman, tujuan gotong-royong GEMPADAH ini dilakukan adalah untuk melaksanakan satu program yang berbentuk pencegahan dadah di kawasan yang tegar dengan gejala penagihan serta pengedaran dadah.

Katanya, Felda Kemendor dipilih sebagai lokasi gotong royong kerana kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang padat dan berada di pinggir bandar.

“Program ini merupakan salah satu usaha perang saraf yang berfokuskan kepada seluruh lapisan masyarakat dengan menjadikan kawasan tersebut bebas daripada gejala dadah.

“Ia juga merupakan arahan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia supaya kita dapat menimbulkan kesedaran dan peningkatan pengetahuan masyarakat terhadap bahaya jika terjebak dengan najis dadah.

“Selain itu ia juga bertujuan untuk menggerakkan masyarakat sivil bersama-sama dengan agensi dan jabatan kerajaan agar dapat memerangi najis dadah daripada ia terus menular.

“Terdapat beberapa kumpulan sasar dalam melaksanakan program ini antaranya ialah pelajar, ibu baba, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), persatuan penduduk, pemimpin masyarakat, bekas penagih dan juga masyarakat setempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, adalah menjadi matlamat kepada mereka untuk membanteras dadah melalui perkongsian yang bijak dengan masyarakat setempat serta berusaha membentuk satu kerjasama bagi menangani masalah ini daripada terus merebak dan mempengaruhi masyarakat setempat.

“Kita sedang berusaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat setempat tentang bahaya dan ancaman yang diterima daripada najis dadah.

“Kita juga mahu menyedarkan mereka bahawa usaha ini perlu ditangani bersama dan bekas-bekas penagih ini perlu dibantu untuk memastikan mereka tidak akan kembali ke tempat lama mereka semula,” katanya.

Beliau berharap melalui program yang diaturkan ini akan dapat mendidik orang ramai menentang musuh nombor satu negara dan sokongan orang ramai diperlukan dalam usaha membanteras gejala dadah.