Sunday, November 23, 2008

ADUN Rim bantu mangsa banjir

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis turun padang memberi bantuan kepada 11 keluarga mangsa banjir di Kampung Sempang Kerayong, di sini, lewat petang kelmarin.

Banjir tersebut berlaku berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan sejak tengah hari lagi. Mohd Yazed berkata, semasa kejadian kesemua mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Tadika Perpaduan Taman Sempang Kerayong.

Menurutnya, tindakan segera beberapa agensi kerajaan seperti kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, pegawai Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah telah dapat membantu memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat.

“Di samping itu, beberapa agensi kerajaan turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek berkata, hujan lebat yang turun dari tengah hari menyebabkan air naik dengan cepat sehingga mangsa tidak sempat menyelamatkan peralatan rumah mereka.

“Kita kini sedang meneliti punca berlaku banjir kilat dan akan memastikan tiada lagi kejadian seperti ini berlaku pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air surut pada hari berikutnya.