Sunday, November 23, 2008

Suntik Semangat Baru MAFA Terima Tajaan Peralatan Sukan KIKA

Penajaan peralatan latihan oleh KIKA, diharap dapat menyuntik semangat baru buat pasukan bola sepak Melaka menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan bermula Januari depan.

Pengurus Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Mohd Yazed Khamis berkata, dengan penajaan tersebut, diharap pemain dapat menunjukkan persembahan cemerlang pada setiap perlawanan.

"Selain jersi, KIKA telah menaja keseluruhan peralatan seperti kasut boot dan stokin kepada empat pasukan iaitu Liga Perdana, Liga Presiden, Futsal Lelaki dan Futsal Wanita.

"Kita masih belum menandatangani kontrak. Bagaimanapun, dalam perbincangan secara lisan penajaan adalah untuk setahun, tetapi kita akan berbincang lagi untuk mendapatkan penajaan bagi tempoh tiga tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penajaan Peralatan Sukan (KIKA) kepada MAFA di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Kata Mohd Yazed, beliau mensasarkan pasukan untuk masuk ke Liga Super dan akan pastikan pemain lebih serius bagi mencapai sasaran tersebut."Kita akan memantau disiplin pemain supaya mereka lebih serius dan tidak main-main semasa persembahan," katanya lagi.

Sementara itu, Jurulatih Pasukan Bola Sepak Melaka, Nicksham Abdullah mengharapkan gabungan mantap antara pemain lama dan baru dapat memberi kebangkitan semula MAFA dalam arena bola sepak.

"Sebahagian pemain lama iaitu kira-kira 70 peratus dikekalkan dalam pasukan, sementara sebahagian lagi kita buka kepada pemain dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Perlis."Pemain yang diambil bukanlah pemain yang berumur dan ternama, tetapi muda dan tetap mempunyai pengalaman dalam liga," katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak lima perlawanan persahabatan akan diadakan sebelum Liga Perdana bermula tahun depan bermula Disember ini."Skuad pasukan kita akan melawan Kuala Lumpur pada 5 Disember ini. Diikuti Kelantan (11 Disember), Felda United (12 Disember), Negeri Sembilan (20 Disember) dan Selangor (26 Disember)," jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri, Hasan Abd Rahman; Presiden MAFA, Karim Yacoob; Pengurus Besar Pemasaran Telekom Malaysia (TM), Zaini Maatan dan Pengurus Kawasan Selatan KIKA, Basir Ibrahim.